Oleh Ahmad Khawari Isa
ahmadkhawari@bharian.com.my
Mereka harus belajar terima realiti, jika tidak musibah sama bakal berulang
PAHITNYA kekalahan memang sukar ditelan. Namun bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Kegagalan skuad kebangsaan melangkah ke separuh akhir Kejohanan Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) selepas kempen hampa di Stadium Surakul, Phuket, malam kelmarin, akan pasti dikenang dalam senarai kekecewaan panjang yang sudah sebati dalam sejarah bola sepak negara.
Serentak itu juga, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menuruti skrip sama – pelbagai jawatankuasa sibuk duduk berbincang dan memperkatakannya, dengan tindakan mudah diramal bermula daripada pelantikan jurulatih serta pengurus baru hinggalah pemilihan kelompok pemain berbeza untuk memikul cabaran.
Dalam kesimpulan mudah, bersedialah untuk melihat badan induk itu mengulangi formula sama yang sudah sekian lama jadi amalan.
Lantas, jangan juga terkejut jika tidak lama kemudiannya nanti, kecewa kembali merajai sanubari. Kerana tidak mungkin hasil berbeza mampu terhasil jika kaedah penyelesaian terus-terusan menuruti cara yang sudah terbukti sama sejak zaman dulu kala.
Apa kini dituntut ialah kejujuran pihak pembuat keputusan di koridor kuasa FAM buat mengetepikan pengaruh kawan-kawan, melupakan perasaan yang tersinggung kerana pernah ditempelak jurulatih ataupun pemain, ketika mencari jalan supaya skuad negara dapat meneruskan pendakian ke tahap kembali dihormati.
Paling utama ialah memastikan – biar apa sekalipun keputusan diambil nanti – kesan psikologi terhadap pemain perlu sentiasa diutamakan.
Datuk Soh Chin Aun – legenda bola sepak negara yang sudah menyaksikan segala-galanya, bermula daripada pemain hingga kini jadi pengurus skuad kebangsaan – menyimpulkannya dengan amat mudah, malam kelmarin.
"Sudah tentu saya tidak gembira dengan kegagalan ini. Tetapi lebih penting, saya amat simpati dengan pemain-pemain kerana mereka yang menanggung kesannya, dan kebanyakan mereka inilah juga nanti akan kembali dipanggil untuk terus memikul cabaran," katanya.
Memang sudah tiba masa untuk jurulatih, B Sathianathan, melepaskan tugasnya. Ada banyak alasan mampu diketengahkan supaya dia harus terus diberi kepercayaan, tetapi pengendali itu wajar tahu betapa waktu untuk melangkah pergi, kini menanti.
Tetapi legasi ditinggalkannya, dalam tempoh kurang setahun membimbing skuad senior – hakikat mungkin kurang diberi perhatian oleh pelbagai pihak – jangan langsung ditolak ke tepi, semata-mata kerana Sathia yang memulakannya.
Piala Suzuki AFF membuktikan betapa pentas saingan antarabangsa jauh berbeza dengan tahap aksi sedih yang dijelmakan pemain dalam Liga Malaysia. Itu hakikatnya.
FAM harus belajar menerima realiti itu. Jika tidak, dua tahun lagi, jangan harap mahu melihat penyudah gembira, jika langkah diatur bermula selepas itu, sama pincang seperti sebelumnya.
Komen ATANSHEARER:
FAM memang terkenal dengan attitude menuding jari kepada pihak lain. Samada, pemain, jurulatih dan penyokong pun tidak terkecuali dari menjadi mangsa apabila mereka dalam keadaan tertekan.
Yang masih 'suci' belum ternoda dari segala dosa dalam bolasepak Malaysia moden hari ini hanyalah PRESIDENnya. Beliau masih bangga dan terus ingin mempertahankan jawatan tersebut walau terbukti tiada apa yang mereka pandai lakukan. Mereka hanya pandai memberikan alasan demi alasan. Menggunakan skrip yang sama, cuma pelakon dan directornya sahaja yang berubah.
Anda boleh lihat lagi alasan-alasan basi FAM yang cukup famous di sini dan di sini.