Lihatlah alasan2 basi yg masih disuapkan kepada peminat untuk menyedapkan telinga. walaupun hakikatnya semua ini indah khabar dari rupa...lebut gigi dari lidah. peminat sejati bolasepak malaysia tak mudah tertipu dengan hujahan palsu sebegini. mereka hanya boleh tipu FAM dan diri sendiri saja.
Petikan dari artikel Utusan Malaysia 11 jun 2005.
Malaysia kalah kerana nasib
Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
PULAU PINANG 10 Jun - Malaysia meletakkan nasib sebagai punca kekalahan 1-2 kepada Singapura pada perlawanan persahabatan di Stadium Bandaraya, malam kelmarin apabila tujuh peluang terhidang gagal dimanfaat sepenuhnya oleh barisan pemain terutamanya bahagian serangan.
Jurulatih negara, Bertalan Bicskei mengakui sememangnya nasib tidak menyebelahi pasukan negara apabila barisan hadapan yang diketuai oleh Nizaruddin Yusoff, Hairuddin Omar dan Zainuddin Ariffin seolah-olah serba tidak menjadi apabila berada di depan gawang Singapura.
``Saya akui kekalahan kepada Singapura merupakan satu tamparan hebat, namun apa yang boleh dikatakan tuah sememang tidak menyebelahi Malaysia, ditambah pula dengan beberapa keputusan pengadil yang sedikit sebanyak boleh dipertikaikan,'' katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Ditambah dengan tahap permainan para pemain Singapura nyata lebih baik dari pemain negara, Bicskei terpaksa akur bahawa pemain dari negara selatan tanah air itu berada di kelas tersendiri. Kekalahan kepada Singapura itu merupakan kekalahan kedua skuad negara dalam tempoh lima hari, selepas tewas 2-0 dalam perlawanan pertama di Stadium Nasional, Sabtu lalu.
Menurut Bicskei, beliau agak kecewa dengan tindakan pengadil perlawanan, Jimmy Napitupulu yang dilihat agak berat sebelah dalam mengadili perlawanan tersebut dan banyak keputusan boleh dipertikaikan terutamanya yang melibatkan pemain-pemain negara.
Ketika sidang akhbar tersebut, ekspresi mukanya terpancar kekecewaan terhadap beberapa keputusan perlawanan terutamanya yang membabitkan pengadil dari Indonesia itu namun beliau terpaksa akur terhadap apa yang telah diputuskan.Ditanya tindakan beliau yang memasuki padang sambil menolak pemain Singapura, Razaleigh Khaik pada minit ke 81 ketika Malaysia ketinggalan 1-2, Bicskei berkata beliau tidak mampu menahan perasaan marah apabila melihat kekasaran demi kekasaran diperlakukan ke atas pemainnya. Dalam kejadian itu, Bicskei yang dilihat hilang kesabarannya meluru masuk ke dalam padang dan menolak Razaleigh setelah beliau membuat terjahan keras ke atas pemain sayap negara, Zainuddin Ariffin. ``Terjahan sebegitu boleh membuatkan kecederaan terhadap pemain saya, mana tahu mungkin Zainuddin mengalami patah kaki jika terjahan itu tepat ke arah kakinya,'' ``Kamu (wartawan) semua nampak apa yang berlaku dan saya minta maaf dengan tindakan saya ini. Saya beranggapan perlu mempertahankan pemain daripada terus dikasari,'' katanya lagi.
Jurulatih itu yang mendakwa mutu pengadilan amat buruk berkata, tindakan pemain Singapura amat keterlaluan dan tiada tindakan dikenakan terhadapnya walaupun bermain dengan keras.
Bicskei berkata, secara keseluruhan, prestasi pemain bertambah baik dengan mempunyai tahap persefahaman tinggi dan saling bekerjasama untuk mencari ruang memecah kubu lawan.
Menurutnya, beliau berasa sedikit gembira dengan mutu permainan yang ditunjukkan anak didiknya apabila berusaha membuktikan mereka mampu mengalahkan pasukan lawan.
Katanya, setiap pemain dilihat memberi sepenuh tumpuan untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan berkenaan, namun beberapa peluang yang ditemui gagal disempurnakan barisan hadapan.
``Tahap permainan pemain negara lebih bagus daripada pasukan lawan kerana mereka mempunyai semangat untuk melawan sehingga minit-minit akhir walaupun tercicir di belakang pasukan lawan.
``Memang pasukan lawan bermain dengan baik tetapi kita (pemain negara) juga bermain dengan bagus, namun saya berharap kita memperoleh nasib lebih baik dalam perlawanan akan datang,'' katanya.
Katanya lagi, pemainnya sudah memberikan komitmen 100 peratus terhadap permainan dengan semangat juang tinggi, tetapi nasib tampak tidak menyebelahi Malaysia biarpun mempunyai banyak peluang.
Dalam perlawanan itu, Malaysia tewas 1-2 hasil jaringan Noh Alam Shah minit ke 18 dan Daniel Bannett minit ke 66, manakala Mohamad Arsyah Ayob merapatkan kedudukan dengan gol pada minit ke 24 selepas sepakan penalti Nizaruddin Yusof berjaya ditampan penjaga gol Singapura.
Dengan kemenangan agregat 4-1 itu, Singapura membawa pulang Piala Cabaran FAM yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.
0 comments:
Post a Comment