====================
Petikan KOSMO! 25/1/09
====================
Salah pemain sendiri - Raja Bola
Oleh WAN FAKHRUL WAN BAKAR
KUALITI pemain tempatan yang ada ketika ini dikatakan turut 'menyumbang' kepada kemerosotan bola sepak negara terutamanya prestasi pasukan kebangsaan.
Hakikat itu diakui sendiri oleh dua bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Abdul Ghani Minhat dan Isa Bakar.
Bagi Ghani, 73, kemewahan yang dikecapi pemain profesional pada masa ini menjadi punca mengapa mereka tidak lagi memiliki keghairahan untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.
"Dulu tiada duit, main bola secara sukarela saja. Sekarang bila dah banyak duit, dia (pemain) main-main. Dulu kita memang nak main, bersungguh-sungguh," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Penyerang era 1950-an dan 60-an itu menambah, pemain sekarang juga perlu menyedari tanggungjawab mereka setiap kali menyarung jersi skuad kebangsaan.
"Setiap pemain kena faham, mereka bawa nama Malaysia, maruah negara. Aktiviti di luar padang juga kena jaga, kalau nak main bola kenalah pandai jaga diri.
"Ini bila banyak duit, tak jaga waktu tidur, tak jaga permainan mereka dan tak jaga tahap kecergasan diri.
"Pemain sekarang kena ada tiga elemen ini iaitu semangat juang yang tinggi, mental yang kuat serta fizikal yang mantap," jelasnya.
Ditanya tentang kedudukan jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan, Abdul Ghani yang terkenal dengan gelaran Raja Bola berpendapat jurulatih tersebut sudah tidak relevan.
"Kalau di luar negara, kalah 0-5, dah tentu jurulatih itu sendiri letak jawatan. Pada saya, dia (Sathianathan) sendiri perlu letak jawatan dan bertanggungjawab dengan kekalahan besar itu. 5-0 sesuatu yang tak boleh diterima," katanya.
Sementara itu, Isa, 56, turut sependapat bahawa pemain bola sepak sekarang tidak mempunyai kesungguhan untuk bermain bola sepak sepenuh jiwa dan raga.
"Kualiti masih ada, cuma tak sampai 100 peratus. Kecergasan dan kerjasama sebagai satu pasukan memang tiada.
"Mentaliti pemain sendiri yang tak mahu memajukan diri, mereka main untuk makan gaji saja. Kalau nak main bola seronok-seronok saja, baik main liga kampung," kata bekas pemain Pulau Pinang era 70-an itu.
Jelas Isa, sebagai langkah mengatasi masalah ketiadaan pemain berkualiti, jurulatih di peringkat negeri perlu tegas dan menerapkan disiplin dalam melahirkan 'pemain sebenar' dari peringkat akar umbi lagi.
"Kalau satu negeri dapat lahirkan seorang pemain yang betul-betul lengkap segala aspek, ia sudah cukup. Secara minimum kita sudah boleh dapat 14 pemain yang betul-betul terbaik," ujarnya.

0 comments:
Post a Comment