skip to main | skip to sidebar

About me

My photo
AtanShearer
Mengikuti perkembangan bolasepak dunia dan tempatan dengan serius sejak berusia 11 tahun ketika World Cup Mexico 86. Peminat Alan Shearer, Arsenal dan France
View my complete profile

Arkib Blog

  • ► 2009 (23)
    • ► July (9)
    • ► January (14)
  • ▼ 2008 (67)
    • ▼ December (8)
      • Pasca Piala Suzuki: Masih mahu guna skrip lama, FAM?
      • Pasca Piala Suzuki: Nasib Sathianathan
      • Pasca Piala Suzuki: Rumusan Kegagalan Malaysia
      • Piala Suzuki: Malaysia vs Thailand
      • Piala Suzuki: FAM Pertahankan Helmi
      • Piala Suzuki 2008: Malaysia vs Vietnam
      • Piala Suzuki 2008: Malaysia vs Laos
      • Nostalgia AFF Cup 2007
    • ► November (3)
    • ► October (3)
    • ► September (9)
    • ► August (18)
    • ► July (3)
    • ► June (20)
    • ► April (2)
    • ► March (1)
  • ► 2007 (17)
    • ► August (3)
    • ► July (11)
    • ► February (3)
  • ► 2006 (21)
    • ► December (2)
    • ► August (7)
    • ► July (5)
    • ► May (2)
    • ► March (1)
    • ► February (1)
    • ► January (3)
  • ► 2005 (24)
    • ► December (2)
    • ► October (6)
    • ► September (1)
    • ► June (4)
    • ► May (6)
    • ► April (3)
    • ► March (2)

BOLA..BOLA...BOLA

Bola itu bulat..Apabila di tendang, kekadang di atas..kekadang di bawah. Tapi bolasepak Malaysia sentiasa di bawah. Pandangan serta komentar tulisan AtanShearer (termasuk yang pernah tersiar di TV3) mengenai bolasepak khususnya dan sukan amnya.

Pasca Piala Suzuki: Masih mahu guna skrip lama, FAM?

Saturday, December 13, 2008

Petikan dari BERITA HARIAN
Oleh Ahmad Khawari Isa
ahmadkhawari@bharian.com.my

Mereka harus belajar terima realiti, jika tidak musibah sama bakal berulang

PAHITNYA kekalahan memang sukar ditelan. Namun bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Kegagalan skuad kebangsaan melangkah ke separuh akhir Kejohanan Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) selepas kempen hampa di Stadium Surakul, Phuket, malam kelmarin, akan pasti dikenang dalam senarai kekecewaan panjang yang sudah sebati dalam sejarah bola sepak negara.

Serentak itu juga, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menuruti skrip sama – pelbagai jawatankuasa sibuk duduk berbincang dan memperkatakannya, dengan tindakan mudah diramal bermula daripada pelantikan jurulatih serta pengurus baru hinggalah pemilihan kelompok pemain berbeza untuk memikul cabaran.

Dalam kesimpulan mudah, bersedialah untuk melihat badan induk itu mengulangi formula sama yang sudah sekian lama jadi amalan.

Lantas, jangan juga terkejut jika tidak lama kemudiannya nanti, kecewa kembali merajai sanubari. Kerana tidak mungkin hasil berbeza mampu terhasil jika kaedah penyelesaian terus-terusan menuruti cara yang sudah terbukti sama sejak zaman dulu kala.

Apa kini dituntut ialah kejujuran pihak pembuat keputusan di koridor kuasa FAM buat mengetepikan pengaruh kawan-kawan, melupakan perasaan yang tersinggung kerana pernah ditempelak jurulatih ataupun pemain, ketika mencari jalan supaya skuad negara dapat meneruskan pendakian ke tahap kembali dihormati.

Paling utama ialah memastikan – biar apa sekalipun keputusan diambil nanti – kesan psikologi terhadap pemain perlu sentiasa diutamakan.

Datuk Soh Chin Aun – legenda bola sepak negara yang sudah menyaksikan segala-galanya, bermula daripada pemain hingga kini jadi pengurus skuad kebangsaan – menyimpulkannya dengan amat mudah, malam kelmarin.

"Sudah tentu saya tidak gembira dengan kegagalan ini. Tetapi lebih penting, saya amat simpati dengan pemain-pemain kerana mereka yang menanggung kesannya, dan kebanyakan mereka inilah juga nanti akan kembali dipanggil untuk terus memikul cabaran," katanya.

Memang sudah tiba masa untuk jurulatih, B Sathianathan, melepaskan tugasnya. Ada banyak alasan mampu diketengahkan supaya dia harus terus diberi kepercayaan, tetapi pengendali itu wajar tahu betapa waktu untuk melangkah pergi, kini menanti.

Tetapi legasi ditinggalkannya, dalam tempoh kurang setahun membimbing skuad senior – hakikat mungkin kurang diberi perhatian oleh pelbagai pihak – jangan langsung ditolak ke tepi, semata-mata kerana Sathia yang memulakannya.

Piala Suzuki AFF membuktikan betapa pentas saingan antarabangsa jauh berbeza dengan tahap aksi sedih yang dijelmakan pemain dalam Liga Malaysia. Itu hakikatnya.

FAM harus belajar menerima realiti itu. Jika tidak, dua tahun lagi, jangan harap mahu melihat penyudah gembira, jika langkah diatur bermula selepas itu, sama pincang seperti sebelumnya.

Komen ATANSHEARER:

FAM memang terkenal dengan attitude menuding jari kepada pihak lain. Samada, pemain, jurulatih dan penyokong pun tidak terkecuali dari menjadi mangsa apabila mereka dalam keadaan tertekan.

Yang masih 'suci' belum ternoda dari segala dosa dalam bolasepak Malaysia moden hari ini hanyalah PRESIDENnya. Beliau masih bangga dan terus ingin mempertahankan jawatan tersebut walau terbukti tiada apa yang mereka pandai lakukan. Mereka hanya pandai memberikan alasan demi alasan. Menggunakan skrip yang sama, cuma pelakon dan directornya sahaja yang berubah.

Anda boleh lihat lagi alasan-alasan basi FAM yang cukup famous di sini dan di sini.

Posted by AtanShearer at 10:36 AM 0 comments  

Labels: B.Sathianathan, FAM, Malaysia, Piala Suzuki

Pasca Piala Suzuki: Nasib Sathianathan

Ketika saat-saat akhir skuad negara diterajui Norizan Bakar, Harimau Malaya terkandas pada separuh akhir Kejohanan AFF 2007 malah lebih teruk ialah ketika 'diratah' China dan Uzbekistan masing-masing dengan lima gol dalam Piala Asia, Julai tahun lalu.

Selepas pelbagai pihak mengecam prestasi Norizan Bakar, maka B. Sathianathan diberikan tugas untuk mengambil alih skuad kebangsaan dalam Pestabola Merdeka, sebulan kemudian, prestasi skuad negara tiba-tiba meningkat namun ia seperti dikejutkan Myanmar 2-1.

Penampilan bertenaga anak buah Sathianathan turut membawa tuah apabila kemarau kejuaraan Pestabola selama 14 tahun diakhiri dengan membalas dendam terhadap lawan 3-1 dalam perlawanan akhir di stadium Shah Alam, Selangor.

Malangnya tuah Sathianathan tidak berpanjangan pada Kelayakan Piala Dunia 2010 yang merakamkan kekalahan agregat 4-1 kepada Bahrain sekali gus mengucapkan selamat tinggal kepada impian ke Afrika Selatan.

Tiada bezanya dengan Sukan SEA Korat 2007 pada November - misi sasaran Sathia bersama skuad Bawah 23 Tahunnya yang menyaksikan mereka gagal ke separuh akhir dan pulang tanpa pingat setelah dibenam Vietnam 3-1, diikat Singapura 1-1 dan hanya mengalahkan Laos 4-0.

Memasuki 2008, skuad Sathia mengikat Indonesia (Jun) dan India (Julai) 1-1 dan membenam Pakistan 4-1 dalam siri persahabatan menjelang ke Pestabola Merdeka dengan deretan empat kemenangan tanpa bolos sebelum hanya dihampakan skuad belia Vietnam menerusi penalti 6-5.

Tiba-tiba Piala Cabaran Grand Royal di Yangon pada pertengahan bulan lalu merakamkan kebimbangan penyokong Harimau Malaya kerana setelah mampu menghukum balik Vietnam, skuad negara langsung longlai dibenam Myanmar 4-1 - satu jurang gol yang cukup besar dan mengejutkan.

Tekanan pada nasib Sathia di 'kerusi panas' itu memuncak serta-merta dan kepercayaan Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin terhakis lalu memberikan kata dua buatnya - "Berjaya di AFF atau selamat tinggal".

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad turut membayangkan perkara itu sebelum perlawanan menentang Thailand.

Ketika ini, dua nama yang dikhabarkan menjadi antara calon bagi mengisi tempat Sathia. Desas-desus juga kedengaran bahawa FAM akan beralih angin mendapatkan jurulatih asing. Nama yang paling awal disebut ialah Peter Withe, bekas jurulatih Thailand dan Indonesia yang cukup arif mengenai bola sepak Asia Tenggara.

Withe pastinya arif dengan corak bola sepak di Asia Tenggara setelah menghabiskan hampir sepuluh tahun menjadi jurulatih di dua negara jiran tersebut.

Sehebat manapun beliau arif mengenai bola sepak Asia Tenggara, kemampuan beliau mencipta kejayaan andaikata membimbing skuad negara masih menjadi tanda tanya. Sebelum ini kita sudah pernah memiliki ramai jurulatih import yang mempunyai pelbagai latar belakang yang hebat.

Untuk rekod, setakat ini FAM telah menggunakan lapan khidmat jurulatih asing. Namakan sahaja siapa; Josef Venglos, Le Roy, Allan Harris dll. Ironinya mereka gagal di Malaysia sebaliknya mereka berjaya di pentas dunia. Semuanya gara-gara 'raw material' yang kurang bermutu yang ada di 'pasaran' bolasepak negara.

Adakah dengan mengupah Peter White ini boleh mengubah keadaan? Dia mungkin sukses di Thailand dan Indonesia, tetapi kita juga harus lihat 'raw material' yang dia perolehi di dua buah negara ini samada kualitinya sama atau tidak. Jika tidak, sudah tentu kita boleh membayangkan kualiti 'end product'nya nanti.

Seharusnya usaha bermula dari memilih benih yang baik untuk ditanam, barulah hasil yang baik dapat dituai.

Posted by AtanShearer at 1:18 AM 0 comments  

Labels: B.Sathianathan, FAM, Malaysia, Piala Suzuki

Pasca Piala Suzuki: Rumusan Kegagalan Malaysia

Friday, December 12, 2008


Ternyata 2 kejohanan aksi pemanas badan bagi skuad negara hanyalah kejohanan bertaraf 'Cap Ayam'. Kejayaan di pentas final Pestabola Merdeka dan Semi-Final Piala Grand Royal Myanmar bukanlah kayu pengukur sebenar.

Apabila beraksi di pentas saingan utama, semuanya bagaikan serba tak kena. Hanya gah ketika menewaskan pasukan lemah. Itupun bukan dengan jumlah jaringan yang melayakkan dipanggil 'kenduri gol'.

Jika Malaysia mengalahkan Laos, sebuah pasukan yang lemah dengan dengan hanya jaringan 3-0; maka jurang prestasi antara Malaysia dan Thailand juga boleh dianggap sama dengan Malaysia-Laos kerana Malaysia turut tewas kepada negara jiran itu dengan jumlah jaringan yang sama.

Seperti yang saya tulis semasa pasca Pestabola Merdeka dahulu, kejayaan Malaysia layak ke pentas final kerana kejohanan tersebut tidak disertai oleh 3 pasukan handal Asia Tenggara. Indonesia, Singapura dan Thailand tidak dijemput mengambil bahagian. Oleh itu mudahlah FAM mendabik dada mendakwa Malaysia kini sudah menemui jalan keluar dari lembah kehinaan ranking bolasepak dunia dan Asia. Hakikatnya, kita masih jaguh kampung. Jaguh dikalangan yang lemah!

Sementara itu dalam kejohanan Piala Grand Royal Myanmar yang menjadi gelanggang pemanas badan kedua pula, Malaysia sekadar mampu hinggap di dahan separuh akhir sahaja, sebelum impian untuk mengulangi kecemerlangan layak ke final Pestabola Merdeka dihalang Myanmar.

Kedua-dua pasukan ini ternyata hanya jaguh kampung. Kedua-dua pasukan layak ke final apabila beraksi di negara sendiri. Senario sebaliknya pula berlaku apabila beraksi di pentas lawan. Di Pestabola Merdeka, Myanmar hanya sampai ke peringkat separuh akhir, begitulah juga dengan Malaysia di kejohanan Piala Grand Royal Myanmar.

Bagaimana pun apabila kedua-dua pasukan ini beraksi di tempat berkecuali. Dalam kes ini saya merujuk kepada Piala Suzuki yang berlangsung di Phuket, Thailand; amat malang sekali buat Malaysia dan Myanmar apabila kedua-duanya hanya mampu menduduki tangga ke-3 kumpulan masing-masing dan seterusnya gagal layak ke separuh akhir.

Jika dahulu, Thailand dianggap seteru utama. Kemudian beralih kepada Singapura. Nampaknya kini Malaysia hanya boleh dianggap setaraf atau setanding dengan Vietnam dan Myanmar. Setiap kali bertemu dua pasukan ini, peluang seolah-olah 50-50. Ternyata mutu bolasepak kita masih tidak ke mana. Masih lemah dan masih berada di kelompok pertengahan pasukan Asia Tenggara.

Yang merisaukan kita ialah, adakah suatu masa nanti, Laos, Kemboja, Filipina dan Timor Leste pula yang akan menjadi seteru utama kita. Samada permainan mereka semakin meningkat ataupun prestasi kita yang semakin menurun setaraf mereka sama-samalah kita tunggu. Saya pasti jika tiada perubahan yang berlaku dlm FAM, senario ini bakal terjadi.

Lihat sahaja Laos, suatu masa dahulu Malaysia begitu mudah meratah pasukan kerdil ini dengan jumlah jaringan gol yang besar. Tapi di kejohanan Piala Suzuki kali ini hanya 3 gol mampu disumbat. Itupun sesudah berhempas pulas mengasak.

Walaupun terdapat sinar di hujung terowong, namun ianya masih samar dan perjalanan masih jauh. Untuk menjadi jaguh dikalangan negara Asia Tenggara pun masih terkial-kial, lupakan sahaja niat untuk layak ke Piala Dunia atau ke Piala Asia dalam masa yang terdekat. Tumpukan usaha terlebih dahulu untuk menjadi jaguh Asia Tenggara, kemudian baru fikirkan tentang saingan peringkat Asia dan Dunia.

Posted by AtanShearer at 6:06 AM 0 comments  

Labels: FAM, Malaysia, Pestabola Merdeka, Piala Suzuki

Piala Suzuki: Malaysia vs Thailand

Thursday, December 11, 2008


Sumber dipetik dari KOSMO

PHUKET - Malaysia pulang awal daripada kempen Piala Suzuki AFF. Sejarah tahun 1998 berulang apabila terkeluar daripada saingan pada peringkat kumpulan lagi.

Semalam, anak buah B. Sathinathan itu ditunjuk jalan keluar oleh Thailand apabila tewas 0-3 pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B.

Ia perlawanan antara hidup atau mati bagi skuad Malaysia selepas tewas 2-3 kepada Vietnam pada perlawanan kedua.

Dengan kekalahan itu, Malaysia hanya mengumpul tiga mata hasil kemenangan ke atas Laos sebelum ini.

Thailand yang dilatih bekas pemain Everton, Peter Reid dan pernah menjadi juara sebanyak tiga kali kejohanan ini mengungguli saingan dengan memungut sembilan mata setelah kemenangan 2-0 ke atas Vietnam dan membelasah Laos 6-0.

Thailand dan Vietnam akan mewakili Kumpulan B ke pusingan separuh akhir.

Vietnam mara selepas mencatat kemenangan 4-0 ke atas laos pada aksi terakhir semalam.

"Bukan mudah untuk menewaskan Thailand. Kalau menang atau seri dengan Vietnam, ia lebih mudah," kata Sathianathan, yang kedudukannya sebagai jurulatih mungkin tergugat selepas ini.

Pada perlawanan semalam, Sathianathan tidak menurunkan penjaga gol, Mohd. Helmi Eliza Elias yang dipersalahkannya atas kekalahan ke atas Vietnam tiga hari lalu.

Namun, Syed Adney Syed Hussein yang diturunkan hampir melakukan kesilapan yang sama apabila pada satu ketika dilihat sedikit leka dan peluang itu dipergunakan sepenuhnya oleh kapten Thailand, Datsakorn Thonglao untuk melakukan tendangan jarak jauh pada minit ke-17 tetapi percubaannya terkena palang gol.

Komen ATANSHEARER:
Tunggu pada posting selanjutnya...




Posted by AtanShearer at 6:49 AM 0 comments  

Labels: B.Sathianathan, FAM, Malaysia, Piala Suzuki, Video Klip

Piala Suzuki: FAM Pertahankan Helmi

Wednesday, December 10, 2008


Petikan HARIAN METRO
Oleh Lokman Zainal Abidin (lockman@nstp.com.my)

KETIKA sebahagian besar peminat bola sepak di Malaysia menyalahkan pemain negara terutamanya penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias kerana melepaskan gol mudah yang mengakibatkan skuad negara tumbang 3-2 di tangan Vietnam kelmarin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pantas menghulur pembelaan.

Semua yang diperlu - tempoh latihan serta perlawanan persahabatan dalam dan luar negara - sudah diberi namun anak didik jurulatih, B Sathianathan memilih untuk mengharungi laluan penuh ranjau walaupun pada peringkat awal, Malaysia dilihat tidak berdepan sebarang masalah untuk ke kelompok empat pasukan terakhir.

“Setiap individu ada hari terbaik dan ternyata semalam (kelmarin) bukanlah hari terbaik buat Mohd Helmi,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad. “Ketika bertemu Laos, dia mempersembahkan aksi yang membanggakan dan turut menyelamatkan beberapa percubaan lawan.

“Saya tidak mahu menafikan dia melakukan kesilapan besar tetapi bagi saya, segalanya tidak menjadi buat penjaga gol Kedah itu. Memang dia yang terbaik di Malaysia dan pernah mendapat pengiktirafan sebagai penjaga gol terbaik dan menerima anugerah.

“Pada pandangan saya, permainan yang dipersembah pemain kita tidak banyak kecacatan, cuma beberapa pemain gagal menterjemah sentuhan sebenar,” kata Azzuddin.

Ketika kedudukan terikat 2-2, Mohd Helmi tersilap penilaian apabila keluar terlalu jauh daripada pintu gawang sekali gus gagal menangkap bola hasil lambungan Nguyen Vu Phong pada minit ke-86.

Kekalahan itu sekali gus membuatkan Malaysia kini perlu menang ke atas tuan rumah, Thailand petang ini jika masih mengimpikan langkah ke separuh akhir Piala AFF Suzuki.

Azzuddin mengakui laluan Malaysia yang awalnya tampak mudah, kini semakin kelam dan beliau berkata, pemain negara tidak lagi mempunyai pilihan selain menang ke atas skuad naib juara musim lalu itu.

“Kita tidak ada pilihan kecuali menang. Kita tidak boleh menggantungkan harapan kepada keputusan perlawanan lain dan perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada pertemuan dengan Thailand.

“Satu-satunya jalan yang ada untuk ke separuh akhir ialah dengan menundukkan Thailand,” katanya yang berada di Phuket untuk menyaksikan perlawanan skuad negara.


Komen ATANSHEARER:

Dalam keadaan sebegini, Syed Adney mengambil kesempatan pula melobi supaya dirinya diangkat menjadi penjaga gawang utama negara apabila bertemu Thailand kelak. Jika dia beranggapan Helmi melakukan kesilapan besar apabila Malaysia tewas kepada Vietnam kelmarin, adakah beliau mencermin diri beliau sendiri? Syed Adney adalah penjaga gol negara yang paling blunder yang pernah saya tengok. Bersediakan dia untuk berhadapan dengan jentera serangan Thailand jika diamanahkan tugas tersebut? Sama-samalah kita saksikan samada beliau terpilih atau tidak untuk menggantikan Helmi Eliza nanti.



Posted by AtanShearer at 11:12 AM 0 comments  

Labels: FAM, Malaysia, Piala Suzuki

Piala Suzuki 2008: Malaysia vs Vietnam

Tuesday, December 09, 2008


Dipetik dari BERNAMA

PHUKET - Kesilapan penjaga gol, Mohd. Helmi Eliza Elias menyaksikan Malaysia berdepan dengan prospek pulang awal daripada Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF apabila tewas 2-3 kepada Vietnam pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Surakul di sini, semalam.

Pada perlawanan itu, Malaysia bangkit untuk menyamakan kedudukan 2-2 tetapi kesilapan Mohd. Helmi keluar dari garisan empat minit sebelum wisel penamat membawa padah kepada skuad negara.

Pemain gantian, Nguyen Vu Phong menghukum kealpaan Mohd Helmi dengan melakukan lambungan ke gawang kosong untuk gol kemenangan Vietnam minit ke-86.

Berbekal dengan hanya tiga mata selepas mengatasi Laos 3-0, Malaysia kini menghadapi laluan sukar ke separuh akhir apabila terpaksa mengutip mata penuh ke atas tuan rumah Thailand, esok.

Indra Putra Mahayuddin menjaring kedua-dua gol pasukan negara pada minit ke-19 dan 83 tetapi usahanya itu tidak membawa makna apabila Vietnam mengutip mata kemenangan, sekali gus menghidupkan peluang ke separuh akhir.

Vietnam, yang sebelum ini tewas kepada Thailand 0-2, dijangka tidak akan menghadapi masalah mengutip mata penuh ke atas Laos pada perlawanan akhir kumpulan.

Malaysia mempunyai peluang untuk membuka jaringan tetapi Mohd. Safee Mohd Sali terlambat sedikit untuk menyambung hantaran Mohd. Zaquan Adha.

Semasa serangan balas, Vietnam berjaya mengambil kesempatan untuk membuka jaringan pada minit ke-15 apabila Mohd. Helmi bertindak lambat untuk menyelamatkan tendangan Pham Thanh Luong.

Empat minit kemudian, Malaysia menyamakan kedudukan menerusi Indra Putra yang menyambar bola muntah tampanan penjaga gol Vietnam, Duong Hong Son, hasil rembatan Mohd. Safee.

Jaringan itu mendapat bantahan keras pemain dan jurulatih Vietnam, Henrique Da Silva Calisto, yang mendakwa Indra Putra berada dalam keadaan ofsaid tetapi pengadil P. Pandian tetap dengan keputusan membenarkan gol penyamaan itu.

Pengadil juga mengarahkan Calisto untuk duduk di bangku penonton berikutan bantahan keterlaluan jurulatih itu.

Namun, itu tidak menghalang Vietnam kembali mendahului menerusi pemain gantian, Nguyen Vu Phong pada minit ke-71 dan 86.

Calisto yang duduk di galeri awam, hampir mencetuskan kekecohan apabila beliau melompat ke kawasan yang diduduki media Malaysia dan menjerit selepas Vietnam menjaringkan gol kemenangan.

Jurulatih negara B. Sathianathan menyalahkan Mohd. Helmi atas kekalahan itu dan memuji pemain lain kerana menunjukkan komitmen dan sikap tidak menyerah kalah.

Sementara itu, pertemuan terakhir skuad negara dengan Thailand akan diadakan di sini seperti jadual asal selepas Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) menerima bantahan Malaysia.

- Bernama

Komen ATANSHEARER:
Satu perlawanan yang menarik. Banyak percubaan, tetapi seperti biasalah samada nasib tidak menyebelahi ataupun peluang disia-siakan. Gol pertama dan ketiga Vietnam memang ternyata kesilapan Helmi. Namun siapakah penjaga gol di Malaysia yang lebih layak dari beliau untuk menjaga gawang? Syed Adney?? Lupakan laa. Dia jauh lebih blunder dari Helmi. Mungkin tiba masanya dosa Syamsuri diampunkan dan memberinya peluang mewakili negara semula.

Saksikan klip di bawah untuk melihat rangkuman perlawanan dan anda boleh nilai sendiri.

MALAYSIA: Mohd Helmi Eliza Elias, Mohd Asraruddin Putra Omar, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Aidil Zafuan, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Amirulhadi Zainal, Hairuddin Omar, Mohd Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Safee Sali, Mohd Zaquan Adha.

VIETNAM: Duong Hong Son, Doan Viet Cuong, Vu Nhu Thanh, Nguyen Minh Duc, Le Cong Vinh, Tran Truong Giang, Nguyen Minh Phuong, Huynh Quang Thang, Pham Thanh Luong, Nguyen Viet Thang, Phan Van Tai Em.





Posted by AtanShearer at 10:25 AM 0 comments  

Labels: FAM, Malaysia, Piala Suzuki, Video Klip

Piala Suzuki 2008: Malaysia vs Laos

Sunday, December 07, 2008


Dipetik dari BERNAMA

PHUKET – Malaysia mempamerkan aksi kurang bertenaga tetapi tetap mencatatkan kemenangan.

Skuad bimbingan B. Sathianathan itu menang 3-0 ke atas Laos pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF di Stadium Surakul semalam.

Percaturan Sathianathan memasukkan Mohd. Safee Sali menggantikan Mohd. Amirulhadi Zainal pada babak kedua membuahkan hasil apabila pemain itu membuka jaringan pada minit ke-67 selepas menanduk masuk sepakan sudut daripada Indra Putra Mahayuddin.

Gol pembukaan itu menjadi titik tolak kebangkitan pasukan negara dengan Indra Putra menjaringkan gol kedua lima minit kemudian.

Kehadiran Safee telah mengubah rentak permainan skuad negara yang tampil lebih bertenaga dengan corak serangan yang lebih tersusun dan terancang.

Hasilnya mereka terus menghukum gawang lawan pada minit ke-86 dan Safee sekali lagi menyudahkannya untuk melengkapkan perlawanan dengan kemenangan 3-0.

Hujan lebat pada permulaan perlawanan mungkin antara faktor pergerakan mereka agak terbatas sehingga menjejaskan gaya serangan yang direncanakan.

Laos yang menyingkirkan jurulatih dari Rusia, Veleriy Dvovin menjelang kejohanan itu tetap tidak mahu menyerah kalah dan terus melancarkan beberapa serangan balas tetapi gagal menemui penyudah.

Penjaga gol Malaysia, Mohd. Helmi Eliza Elias terpaksa bekerja keras untuk mempertahankan gawangnya daripada dibolosi.

“Seperti yang saya katakan sebelum perlawanan ini bahawa bukan mudah untuk mengatasi pasukan Laos.

“Pasukan lawan memberi saingan dan pemain kita tidak menunjukkan prestasi seperti diharapkan dan tidak ada kesungguhan,” kata Sathianathan.

Menurutnya, Safee tidak disenaraikan dalam barisan kesebelasan utama kerana mengadu kesakitan otot di bahagian belakang lutut.

“Sudah pasti kita tidak boleh bermain seperti ini semasa menentang Vietnam Isnin ini dan tuan rumah Thailand pada 10 Disember ini,”

katanya.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Thailand menewaskan

Vietnam 2-0.

Pada perlawanan kumpulan A di Jakarta, tuan rumah, Indonesia menewaskan Myanmar 3-0 manakala juara bertahan Singapura menumpaskan Kemboja 5-0.

– Bernama


KOMEN ATANSHEARER:
Saksikan klip di bawah, banyak peluang tapi gagal dimanfaatkan. Terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan lawan yang lemah.Separuh masa pertama Malaysia gagal menyumbat sebarang gol.

Keputusan: 3-0

Penjaring: Mohd. Safee Mohd. Sali (minit ke-67 dan 86), Indra Putra Mahayuddin ((72).

Senarai Pemain:

MALAYSIA: Mohd. Helmi Eliza Elias, Mohd. Asraruddin Putra Omar, Norhafiz Zamani Misbah, Mohamad Aidil Zafuan, Muhamad Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri, Mohd. Daudsu Jamaludin, Mohd. Amirulhadi Zainal (Mohd. Safee Mohd. Sali), Hardi Jaafar (Mohamad Zaquan Adha), Hairuddin Omar (Muhammad Juzaili Samion).

LAOS: Sengpachan Bounthisanh, Saynakhonevieng Phommapanya, Ketsada Souksavanh, Kovanh Namthavixay, Chandalaphone Liemvisay, Sounthalay Xaysongkham (Viengsavanh Sayyaboun), Lamnao Singto, Visay Phaphouvanin (Sangvone Phimmasen), Phayvanh Lounglath, Kaysone Soukhavong (Kitsada Thongkhen),Vongphet Sylisay





Posted by AtanShearer at 10:16 AM 0 comments  

Labels: B.Sathianathan, FAM, Malaysia, Piala Suzuki, Video Klip

Nostalgia AFF Cup 2007

Monday, December 01, 2008

Sempena kejohanan Piala Suzuki (dahulu dikenali sebagai Piala Tiger dan Piala AFF) yang bakal berlangsung pada awal bulan depan di Phuket, eloklah kita imbas semula pencapaian pasukan Malaysia dalam edisi 2007 yang lalu.

Dalam kejohanan edisi tersebut merupakan peluang terbaik bagi Malaysia untuk mengulangi sejarah layak ke final sebagaimana edisi pertama dahulu. Malangnya sekali lagi Malaysia tersangkut diperingkat separuh akhir apabila tewas kepada Singapura dalam penentuan sepakan penalti.

Saksikan klip-klip aksi menarik pasukan Malaysia dalam kejohanan edisi lalu. Mudah-mudahan memberi inspirasi kepada skuad kali ini untuk beraksi lebih baik mengatasi pencapaian lalu.


Posted by AtanShearer at 7:30 AM 0 comments  

Labels: AFF, Malaysia, Piala Suzuki, Video Klip

Newer Posts Older Posts Home
Subscribe to: Posts (Atom)

Blog Design by Gisele Jaquenod

Work under CC License.

Creative Commons License