Hidupkan Akademi Bolasepak Negeri
Oleh Datuk Ahmad Basri Akil
SASARAN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadikan 2018 sebagai tahun Malaysia beraksi di Piala Dunia menarik reaksi ramai mengupasnya.Ikuti pandangan bekas naib presiden, Datuk Ahmad Basri Akil yang pernah digantung atas kelantangannya mengkritik badan induk itu, mengenai sasaran berkenaan.
SETIAUSAHA Agung, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad menjadikan Kejohanan Piala Asia 2007 sebagai ukuran Indeks Prestasi Utama (Key Performance Index – KPI) skuad bola sepak kebangsaan. Selain mengharapkan KPI meliputi ukuran lebih meluas dalam kerja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengenal bakat, membangunkan bola sepak serta kejayaan prestasi pasukan, kita juga berharap agar KPI juga meliputi prestasi umum kepemimpinan dan pengurusan FAM.
Sesungguhnya banyak yang tidak kena dengan FAM ketika ini dan tidak perlu tunggu sahingga 2007 untuk dikenal pasti.Respon dan reaksi saya ini berpunca daripada keperihatinan peminat bola sepak. Saya rela digantung oleh FAM sampai bila-bila demi berjasa dan menabur bakti terhadap bola sepak negara.Malah saya pernah digantung selama empat tahun kerana membela pembangunan bola sepak negara dan membuat kenyataan akhbar pada 9, 10 dan 11 Februari, 2001 atas pendirian jujur dan positif.
Saya mempertikaikan pandangan Timbalan Presiden FAM melalui kenyataan akhbar yang menyatakan projek pembangunan melalui akademi negeri ketika itu gagal tanpa sebarang rujukan dengan jawatankuasa yang melaksanakannya termasuk saya sendiri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Projek Akademi. Sehingga kini apa yang di anggap gagal tidak diketahui sedangkan ketika itu projek 10 tahun yang bermula pada 1995 hanya separuh jalan. Jika ada kelemahan ia sepatutnya dibetulkan, bukan dihukum tanpa usul periksa dan kemudian dibatalkan. Apakah bentuk rancangan yang digantikan dan adakah ianya lebih berjaya?
Luahan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh meminta seluruh pemimpin FAM meletak jawatan adalah luahan rakyat yang tidak harus dilihat sebagai pandangan peribadi.Saya yakin pendiriannya mendapat sokongan majoriti terutama terhadap pucuk pimpinan FAM yang telah kekal dikedudukan tertentu lebih dua dekad tanpa membawa sebarang kejayaan yang boleh dibanggakan.Ia tidak seharusnya dianggap sebagai tidak menghormati mereka yang berpangkat dan berdarjat tetapi lebih pada kejujuran dan kerelaan menyatakan sesuatu demi kepentingan ramai.Sikap amat menghormati dan merendah diri sebenarnya telah mengganggu rentak kerja dan menjejas interaksi dalam FAM.
Bagi mereka yang menghuni kedudukan tinggi, haruslah menerima pandangan dengan fikiran terbuka. Sayangnya apa yang berlaku lebih menutupkan mulut dan minda dan lebih yang hanya menurut.Saya menerima secara positif kenyataan Dr Ibrahim namun beliau tidak menghuraikan cara pelaksanaan untuk pasukan negara meningkat maju.
Adakah hanya sandaran kepada latihan dan pendedahan pasukan yang sedia ada tanpa pendekatan jangka panjang agar pencapaian boleh bertahan?Apakah kemampuan FAM untuk mengendali dan mengembelingkan tenaga dan sumber, menyelaraskan segala aktiviti pembangunan bola sepak tanpa melepaskan tanggungjawab kepada pihak lain.Ianya boleh dilakukan dan kekal sebagai tanggungjawab utama FAM yang boleh dihasilkan melalui cara kepemimpinan berkesan dengan wawasan jelas.
Kita akui bukan semua dalam FAM tidak menjalankan tugas dengan baik dan tidak berhenti dari berusaha menghasilkan sesuatu. Tetapi jika ditinjau sejarah FAM, kita pasti akan mengesan ada pihak yang tidak senang wang dibelanjakan untuk pembangunan.Pihak ini tidak suka jika ada orang ingin lebih pandai dan melakukan sesuatu yang mereka sengaja ketepikan, selain perasaan dikuasai pengaruh dan tekanan tidak sehaluan.
Sikap seperti ini perlu dihapuskan sepenuhnya jika FAM hendak diurus tadbir secara efisyen, berkesan serta proaktif. Apa yang ingin dilihat ialah wujud kesedaran dan kerelaan bekorban untuk kepentingan umum yang membawa kepada penyusunan semula FAM di segi kepemimpinan, urus tadbir dan perancangan bola sepaknya.Yang masih menjalankan tugas dengan baik, kita kekalkanlah atau bawa masuk semula tetapi yang gagal atau kurang berjaya, kita ucapkan selamat tinggal.
Sebagai orang yang telah berkidmat untuk bola sepak negara sejak dari 1984 hingga digantung mulai 14 Mac, 2001 kerana membela pembangunan Akademi Negeri yang diasaskan pada 1995, saya akan terus memberi sumbangan secara jujur, ikhlas dan terbuka.Saya berharap agar Akademi Bolasepak Negeri dihidupkan semula untuk menyediakan pemain berbakat dari akar umbi jika Dr Ibrahim mahu melihat skuad bola sepak negara beraksi di Piala Dunia.
0 comments:
Post a Comment